Saturday, February 1, 2014

Kekal cergas meski bekerja dari rumah

Jika dahulu, orang bekerja sinonim dikaitkan dengan pejabat tetapi kini berbeza. Ramai yang mengambil keputusan bekerja di rumah saja.
w3
Pasti ramai mengimpikan bekerja di rumah terutama sekali bagi mereka yang bergelar ibu. Faktor utamanya adalah kerana mudah menguruskan rumah tangga. Tapi dari aspek kesihatan, sebenarnya bekerja dari rumah boleh menurunkan kualiti kesihatan lantaran selesa dengan kawasan persekitaran membuatkan anda malas bergerak ke mana-mana.
Berikut adalah beberapa tip yang boleh dipraktikkan bagi mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan sekalipun lokasinya adalah di rumah.
❦ Aktif bergerak
Mereka yang bekerja di rumah dikatakan lebih lama duduk daripada individu yang bekerja di pejabat. Ingat, duduk terlalu lama boleh mengakibatkan masalah pengumpulan lemak dan kolestrol. Anda perlu bangun dan melakukan sedikit pergerakan bagi meregangkan tubuh yang 'tertekan'.

❦ Pastikan lokasi kerja kemas, bersih
Jangan sekali-kali beranggapan apabila bekerja di rumah, anda telah bebas daripada kuman sepenuhnya. Sama ada ahli keluarga atau tetamu yang datang, mereka sebenarnya berpotensi membawa masuk virus ke kediaman jika tidak dibersihkan.

Sekiranya menggunakan khidmat pembantu rumah maka itu adalah satu bonus buat anda kerena mereka boleh menyelesaikan kerja-kerja pembersihan. Jika tidak, andalah yang patut melakukannya bagi menjamin kawasan kerja yang bersih.
❦ Biarkan udara segar yang masuk
Salah satu kelebihan bagi mereka yang bekerja di rumah adalah anda mampu mengawal sendiri suhu penghawa dingin yang diingini. Begitu juga dengan pencahayaan dan pengudaraan yang diperlukan. Semuanya tergantung pada anda.

Oleh sebab itu, jangan sekali-kali terlupa dari membuka tingkap agar udara segar yang diperlukan masuk ke dalam rumah begitu juga dengan cahaya matahari terutama sekali di waktu pagi.
❦ Kawal makan dan minum
Bekerja di rumah membuatkan anda bebas melakukan apa sahaja. Kesempatan seperti inilah yang diinginkan tetapi janganlah sampai keterlaluan. Walaupun anda tidak dihalang makan atau minum apa sahaja, cuba kawal pengambilannya bagi mengelakkan diri daripada jatuh sakit kerana ia hanya akan menjejaskan produktiviti kerja yang dilakukan.

❦ Ambil masa berehat
Walaupun berada di rimah, anda tidak sepatutnya terus bekerja. Ambil masa seketika untuk berehat dan melakukan perkara yang disukai. Sediakan jadual berehat anda bagi mengelakkan diri dari tertekan dengan bebanan kerja. Jangan sekali-kali remehkan perkara ini kerana ia memberi impak besar terhadap kesihatan.