Sunday, October 26, 2014

Ketahui Khasiat Roselle Untuk Anda

Pasti ramai yang kurang jelas apabila disebut 'asam susur' tetapi jika roselle bagaimana? Sudah terbayangkah di fikiran akan kesegaran airnya serta kemerahan bunga yang diketahui mengandungi banyak khasiat.


Dipercayai, tumbuhan ini berasal dari benua Afrika. Saiz pokoknya boleh mencapai ketinggian lebih kurang empat sentimeter sementara batangnya pula berkayu di bahagian pangkal. Cara menanamnya mudah, sama ada menggunakan biji benih atau keratan dahan. Pucuk dan daun mudanya boleh dituai selepas tiga bulan ditanam sementara kaliks pula boleh dipetik dalam jangka masa 15 hingga 20 hari selepas bunga-bunganya dihasilkan.

Bahan Makanan
Kaliksnya boleh dijadikan sirap, jem dan agar-agar malah boleh diguna semula selepas dikeringkan dengan betul. Sementara itu, bijinya boleh dipanggang dan sesuai dijadikan pengganti minyak masak. Begitu juga pucuk dan daun muda yang boleh dimakan mentah atau dimasak biarpun rasanya sedikit masam dan berlendir.


Penawar
Rebusan kaliks boleh dijadikan minuman untuk melawaskan pembuangan air kecil, mengurangkan kolestrol dalam darah selain merawat masalah arteriosklerosis.


Bijinya pula ditumbuk hingga lumat kemudian ditelan bagi melawaskan air kencing dan air besar.

Dipercayai, biji asam susur ini mengandungi unsur vitamin A, B dan C yang sangat bagus untuk kesihatan mata, sekali gus memelihara kecantikan kulit. Sesuai juga dibuat syampu dan tonik penyumbur rambut.

Sementara itu, bahagian akarnya boleh direbus dan diminum untuk dijadikan pembuka selera, mengubat masalah ulser usus seterusnya merawat arteiosklerosis.

Manfaat Tumbuhan
Selain bagus untuk kesihatan, tumbuhan ini boleh dijadikan sumber serabut seperti jut untuk dijadikan tali, guni dan industri pemprosesan kertas.

Info
Di Sudan, roselle diproses menjadi minuman tradisional yang dinamakan Karkadeh. Ia merupakan minuman masyarakat orang Sudan. Salut bunga ini boleh diproses menjadi pelbagai jenis hasilan seperti minuman, halwa, jeli, sos, jeruk dan serbuk atau helaian minuman roselle.

Kamus Anda!

Kaliks: bahagian bunga sebelah luar di antara kelopak dengan tangkai (yang menjadi pelindung semasa bunga belum kembang)
Arteriosklerosis: keadaan dinding arteri yang menjadi keras, tebal dan hilang kekenyalan.
Serabut: benda seperti benang, seperti yang terdapat pada sabut (kulit kayu); serat
Jut: pokok yang seratnya boleh dibuat guni dan lain-lain

No comments:

Post a Comment