Thursday, October 16, 2014

Makanan Sihat Untuk Cantikkan Senyuman

Tip sihat yang akan dikongsikan hari ini ialah mengenai makanan yang boleh memberi sumbangan kepada cantiknya senyuman anda.

Wajah yang berseri datangnya daripada senyuman yang menawan. Sudah tentu ia lebih cantik dipandang andai dibarisi gigi yang sihat dan putih berseri.

ANDA PERLU TAHU
Sesetengah jenis makanan membuatkan gigi berlubang, plak selain mengeluarkan bau mulut yang kurang menyenangkan. Jangan bimbang! Masih ada makanan yang boleh membuatkan senyuman anda kelihatan cantik dan menawan. Berikut adalah makanan-makanan yang dicadangkan:

#1 - PRODUK TENUSU

Susu serta produk yang berasaskan tenusu mengandungi bahan mineral yang dikenali sebagai kalsium dan fosfor. Sebatian ini dipercayai boleh menguatkan enamel kerana protein yang terkandung di dalamnya berupaya menguatkan gigi.

Info Tambahan:
Susu adalah anti asid yang sangat baik.

#2 - LOBAK MERAH

Pernahkah anda terlupa untuk memberus gigi? Mungkin bunyinya sedikit mustahil tetapi sekiranya ia terjadi maka kunyahlah beberapa potong lobak merah. Dikatakan, ia mampu mengikis plak-plak yang melekat di gigi selain merangsang penghasilan air liur yang berfungsi secara semula jadi untuk membersihkan gigi.

#3 - NANAS

Nanas kaya dengan enzim semula jadi yang dikenali sebagai bromelain. Enzim ini dikatakan berfungsi untuk menghilangkan plak sekaligus mengusir bakteria yang melekat di gigi. Selain itu, buah limau mempunyai khasiat yang sama dan elok diamalkan untuk tujuan kesihatan gigi dan mulut.

#4 - IKAN SALMON

Kandungan asid lemak omega 3 dan fosfor dipercayai amat bagus untuk memperkuatkan enamel gigi. Ia merupakan sumber vitamin D yang amat bagus untuk menyerap kalsium supaya gigi bertambah kuat dan sihat.

#5 - STRAWBERI

Strawberi menghasilkan asid maleik ketika ia dikunyah. Selain rasa yang sedap, ia turut memberi kesan untuk memutihkan gigi.

#6 - EPAL

Berita baik kepada anda yang sangat prihatin dalam memelihara gigi. Hanya dengan menggigit sepotong epal, anda sebenarnya telah membersihkan plak di gigi. Epal mengandungi sejenis asid yang berupaya melarutkan kotoran di celah-celah gigi. Selain epal, lobak merah dan daun saderi juga menghilangkan kotoran di atas permukaan enamel.

No comments:

Post a Comment