Friday, November 22, 2013

7 strategi Tingkatkan Metabolisme

Apa itu Metabolisme?
Berbicara soal metabolisme, ramai orang tahu bahawa mereka yang mempunyai kadar metabolisme yang tinggi akan lebih cepat membakar kalori. Namun apakah metabolisme yang sebenarnya? Metabolisme didefinisikan sebagai kadar pembakaran kalori oleh badan. Setiap orang mempunyai kadar metabolisme yang berbeza walaupun mempunyai persamaan dari segi corak kehidupan, cara pemakanan dan menjalankan aktiviti yang sama. Metabolisme adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan semua reaksi kimia yang terlibat dalam mempertahankan keadaan hidup sel-sel dan organisma.

Pernahkah terjadi?
Anda dan teman-teman makan dan melakukan aktivit kecergasan yang sama, namun tetap juga anda memiliki berat badan yang melebihi mereka. Mengapa itu boleh berlaku? Walaupun jenis makanan dan senaman yang dilakukan tiada beza, tetapi kadar pembakaran kalori dalam tubuh setiap orang adalah berbeza.

Mengapa metabolisme menurun?
Salah satu punca metabolisme menurun adalah pengaruh usia. Tahukah anda bahawa kadar metabolisme akan menurun lima peratus dalam tempoh sepuluh tahun selepas usia seseorang itu mencecah 40-an? Walaupun tubuh masih mampu membakar kalori dengan kadar segera, ia tetap tidak sepantas ketika anda masih muda.

Faktor jantina juga mempengaruhi. Wanita membakar kalori lebih perlahan berbanding lelaki. Lelaki mempunyai kadar metabolisme yang lebih tinggi kerana mereka memiliki tisu otot yang lebih. Jika disertakan dengan pengambilan makanan secara sihat dan senaman kerap, agak sukar bagi kaum lelaki mengalami kenaikan berat badan.
Selain itu, warisan genetik juga menjadi faktor. Jika kebanyakkan ahli keluarga anda berbadan besar dan pengidap penyakit berkaitan berat badan seperti obesiti, kemungkinan anda memiliki kadar metabolisme yang rendah juga sangat tinggi.
Masalah tiroid mungkin disebabkan Hypothyroidism (kelenjar tiroid kurang aktif) dan Hyperthyroidism (kelenjar tiroid terlalu aktif). Kelenjar tiroid memainkan peranan penting dalam metabolisme badan dan penting untuk penjanaan tenaga. Jika kelenjar tiroid menjadi kurang aktif dalam keadaan hipotiroid, sistem metabolisme badan akan menjadi perlahan dan masalah ini boleh menyumbang kepada pertambahan berat badan. Kebanyakkan kita beranggapan bahawa pertambahan berat badan dikaitkan dengan masalah tiroid, sebenarnya tidak.
Salah satu sebab penting menjurus kepada metabolisme menurun adalah penyakit kencing manis. Bagaimana ia terjadi, masih tidak begitu jelas. Namun, ada pakar beranggapan dengan keadaan gula yang tinggi dalam badan, sistem badan 'tertipu' dan beranggapan gula yang tinggi ini menggambarkan tenaga yang berlebihan. Ketika inilah kadar metabolisme menurun.
Tisu lemak yang secara relatif lebih daripada tisu otot juga merupakan punca metabolsme menurun. Tisu otot berbanding lemak menyebabkan kadar metabolisme meningkat. Ini merupakan sebab utama mengapa lelaki mempunyai kadar metabolisme badan yang tinggi berbanding wanita. Tisu otot akan berkurangan mengikut peredaran masa. Faktor inilah yang menyebabkan berat badan meningkat pada pertengahan usia.
Kadangkala gaya hidup yang tidak sihat boleh menyebabkan metabolisme menurun. Pengambilan ubat seperti anti-depresi boleh mengurangkan kadar metabolisme badan. Bila badan kekurangan tenaga, penggunaan tenaga juga berkurangan dan menjadikan pembakaran kalori tidak aktif. Cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini ialah makan makanan yang mengandungi protein yang tinggi dengan kuantiti yang sedikit tetapi kerap.
Biar apa pun cara untuk anda mengekalkan kadar metabolisme dalam badan, pastikan ia tida memudaratkan kesihatan. Suatu perkara yang perlu anda tahu, kadar metabolisme pasti akan menurun mengikut usia tetapi ia boleh dikekalkan pada tahap ideal selagi anda menitikberatkan soal kecergasan dan pemakanan.
7 STRATEGI Tingkatkan Metabolisme
1. Tidur Teratur
tidur
Ramai yang memandang remeh soal tidur. Masyarakat hari ini tidak mementingkan tidur kerana terlalu sibuk menjalani rutin harian mereka. Selain tidur lapan jam sehari, tidur teratur boleh diklasifikasikan sebagai tidur dan bangun pada waktu yang sama pada setiap hari. Tidur teratur dapat meningkatkan kadar metabolisme tubuh. Tidur kurang misalnya dalam tempoh empat jam sehari akan menjadikan kadar metabolisme menurun. Tenaga untuk membakar kalori tidak berkurangan kerana keadaan badan yang letih sehingga menjejaskan kadar metabolisme seseorang.

2. Waktu Sarapan
sarapan
Banyak penelitian mendapati kebanyakkan orang tidak kisah jika terlepas waktu sarapan. Tahukah anda, kadar metabolisme tubuh secara automatiknya akan menurun ketika tidur. Ia tidak akan berfungsi secara normal ketika seseorang tidur sehinggalah pada keesokkan harinya ketika mereka makan. Sebaiknya ambillah sumber karbohidrat ketika bersarapan kerana ia memerlukan waktu yang lebih lama untuk dicerna dan membuatkan kita kenyang dalam satu tempoh masa yang agak lama. Rasa lapar kerana tidak bersarapan membuatkan kita cenderung untuk makan lebih banyak selepas itu.

3. Pengambilan Protein
otot
Protein bukan sahaja bertindak untuk membakar lemak bahkan ia membentuk otot. Bagi menghadam protein, lebih banyak tenaga diperlukan. Pengambilan protein dapat meningkatkan kadar metabolisme dalam tubuh. Apabila memilih makanan, pastikan 10-35 peratus daripada jumlah kalori yang diambil merupakan sumber protein. Badan membakar kalori dua kali ganda bagi menghadamkan protein berbanding lemak atau kabohidrat.

4. Banyakkan Minum Air Masak
air masak
Badan kita memerlukan air untuk memproses kalori. Apabila kita kekurangan air dalam badan (dehidrasi), kadar metabolisme akan menurun. Dalam sehari seorang dewasa memerlukan lapan gelas air masak. Untuk mengekalkan bekalan air dalam badan, kita hendaklah meminum air masak sebelum makan. Sebagai tambahan, boleh juga memakan buah-buahan yang tinggi kandungan air. Makan secara kerap boleh membantu mengurangkan berat badan. Ambil makanan setiap tiga atau empat jam untuk membantu meningkatkan kadar metabolisme.

5. Elak Stres
meditasi_tubuh
Stres akan meningkatkan jumlah kortisol dalam tubuh. Ia merupakan hormon yang memberitahu tubuh untuk menyimpan lemak sebagai persediaan sekiranya berada dalam situasi bertekanan tinggi. Senaman meditasi seperti yoga adalah yang terbaik bagi mengawal stres.

6. Berjemur
berjemur1
Berada di kawasan gelap mempunyai kesan fisiologi yang sama seperti apabila anda tidur atau naik berat badan. Apabila ini berlaku, ia memberi kesan kepada kadar metabolisme dalam tubuh anda. Pastikan anda berada di bawah sinaran matahari yang sihat sekitar jam 9-11 pagi.

7. Senaman
senaman
Senaman dengan pemberat adalah yang terbaik untuk meningkatkan metabolisme. Menurut Kevin Zahri di dalam blognya, satu paun otot akan membakar 35-50 kcal kalori. Lemak pula hanya membakar hanya 5-10 kcal kalori. Bersenam aerobik atau berjoging pula tidak membina otot tetapi mampu meningkatkan kadar metabolisme badan selepas kita melakukannya.

No comments:

Post a Comment